Sunday, October 16, 2011

Everything will be okay

"Everyone must take time to sit and watch the leaves turn" [Elizabeth Lawrence]
                 





>>1<<
Segalanya akan beransur baik. 
Dia yang kau masih ingati pasti akan perlahan-lahan kau lupakan.
Tempatnya yang istimewa akan berganti dengan yang lain.
Luka yang ditinggalkannya dihatimu akan membaik meskipun parutnya masih bersisa. 
Satu lembaran dari hidupmu yang kau akhiri akan membawa kepada lembaran baru yang akan kau mulai lagi.

>>2<<
Beberapa waktu ini saya sangat merasa terluka.
Entah kerana cinta yang tidak berbalas atau cinta yang tidak diendahkan.
Lalu saya mengatakan bahawa tidak ada cinta untuk saya tahun ini;
tahun ini adalah tahun untuk berehat dari mengejar-ngejar cinta,
tahun pengabdian untuk mencari cinta di dalam diri sendiri sahaja.

>>3<<
Mencari cinta memang bukan perkara yang mudah.
Lebih-lebih lagi di usia 'emas' seperti saya ini.
Tapi siapa sangka saya akan menemuinya dalam waktu-waktu yang saya tidak jangka.
Di waktu-waktu saya sudah berhenti untuk berharap dan membuat keputusan untuk pasrah dengan takdir Tuhan. 
Memang benar ya Tuhan itu mempunyai rencana yang sangat misterius, yang tidak dapat diteka oleh sesiapapun. 
Saya menemui beberapa orang yang sangat serius menjual-jual dan menawarkan cintanya kepada saya, yang sanggup berbuat apa saja untuk saya, yang rela meletakkan saya di dalam perancangan masa hadapan mereka dan menjadikan saya 'priority' mereka.

>>4<<
Oktober ini membuat saya senyum-senyum lagi dengan penuh passion
Bukan kerana cinta yang melimpah-ruah di hadapan saya. 
Tetapi kerana masih merasa diperhatikan oleh Yang Berkuasa,
masih merasakan bahawa Tuhan masih punya banyak waktu untuk mendengar bisikan-bisikan saya setiap hari.
Mungkin ini hanya kegembiraan yang bakal berakhir dalam hitungan detik, tetapi saya tetap mensyukurinya, tetap menikmati momen-momen itu dengan sepenuh hati.
Inilah anugerah Yang Maha Esa untuk seorang hamba-Nya yang bernama Haswiah.

Sunday, September 25, 2011

13 hari

"Sering terjadi seseorang meninggalkan karena takut ditinggalkan"
[RT@anmansyur]


>>1<<
13 hari yang lalu kami bercerita tentang banyak perkara.
Bermula dengan hanya berkawan kami sama-sama merasakan bahawa kami telah jatuh cinta.
Dia menyatakan semua perancangannya untuk masa depannya,
dan yang cukup membahagiakan 'ada saya dalam perancangan masa depannya' itu.
Itu perkara penting yang pernah saya tanyakan kepada 'seseorang' yang sempat saya jatuhkan cinta dahulu. 
Tapi malang sekali, tidak ada saya dalam perancangan masa depannya.


>>2<<
Dia bersedia meninggalkan segalanya dan bersama saya di sini.
Cintanya tidak akan berubah walaupun saya menjadi gemuk suatu hari nanti.
Saya tidak perlu bekerja membanting tulang lagi selepas berkahwin dengan dia.
Itu antara janjinya ke saya, sounds sweet right?
Tapi entah kenapa saya percaya semua kata-katanya walaupun kami hanya bercerita di alam maya.
[Saya tahu jika saya ceritakan kepada orang lain pasti mereka akan mengatakan bahawa saya telah ditipu]
Ya, percintaan dengan cara ini amat berisiko, penuh dengan segala ketidaktentuan dan penipuan.
But somehow, I believe all he said to me. Apakah saya seorang yang weird atau saya sudah beransur-ansur menjadi tidak waras ya?
Seharusnya memang begitulah cinta harus berlangsung [kan?]
Di mana kita mencintai seseorang atau sesuatu tanpa syarat.
Begitulah caranya 'dia' mencintai saya.


>>3<<
Saya ingin meneruskan hidup dengannya.
Mencuba melihat apa akan jadi dengan 'cinta' kami.
Akankah kami grow old together, membina keluarga kami bersama-sama.
Menepati janji yang kami lafazkan satu persatu.
Saya ingin mencuba tetapi hati saya berkata jangan.
Ini adalah sebenar-benar hidup, bukan eksperimen Sains yang jika pun gagal tidak akan mengundang duka di hati, tidak akan membuat jiwa berduka untuk beberapa waktu.
Maka saya putuskan untuk kembali kepada kewarasan iman dan gerak hati.
Barangkali percintaan kami seperti kata orang asing 'too good to be true'.
Semacam itulah alasan yang terbaik untuk membuat kata akhir; berpisah.


>>4<<
Semoga kami tidak mendendami diri masing-masing.
Semoga doa yang terucap dari bibir kami selepas ini masih sama mulianya dengan doa yang terucap sewaktu kami masih bersama.
Saya serahkan akhir cerita kami kepada Yang Mentakdirkan kami bertemu dulu.
Pasti akhir cerita yang Dia ingini sangat sesuai dan terbaik untuk kami berdua.
13 hari mencintai dia mungkin waktu yang Tuhan berikan untuk saya, berharap saya akan mencintai dia lagi untuk 13 hari tanpa henti ke hadapan. 
Sehingga 13 hari terakhir di antara hidup saya dan dia. Amin...

Wednesday, September 21, 2011

Membebaskan dia

"You will do well and I will be fine. Caused we're better off, separated"
[Paper Plane]



Saya sudah menjangkakan akan sampai ke titik ini.
Di mana kita terpaksa berpisah jalan, memilih simpang kita masing-masing.
Terasa baru sahaja kita sejalan, bercerita tentang perancangan-perancangan masa hadapan. 
Betukar-tukar tawa dan senyum yang kembangnya sampai ke hati. 
Saya telah memotret semua itu kerana saya yakin kita akan sampai ke simpang ini.
Lalu saya telah punya beberapa kenangan bersama kamu meskipun kita tidak pernah akan bertemu lagi setelah ini.


Maafkan saya kerana tidak serius dengan perbicaraan hidup dengan kamu.
Saya ini orang yang punya berjuta ketakutan untuk berkongsi hidup dengan orang lain.
Seperti kata terakhir yang saya hantar kepada kamu;
bahawa saya tidak akan berhenti mendoakan kamu, akan saya hantarkan doa itu dari seluruh penjuru dunia yang saya jejaki.


Saya dan kamu sekali lagi perlu berdamai dengan takdir.
Biar Yang Menciptakan kita yang menentukan 'takdir terindah' kita.
Bukankah Dia yang kita yakini itu Maha Tahu akan apa yang terbaik.
Kita merasakan bahawa kita mampu menciptakan cerita dongeng kita sendiri,
kita berhentilah di sini; di tempat yang masih selamat untuk kita melambaikan tangan tanda pisah. 
Lalu kita sama-sama meneruskan jalan mencari 'takdir terindah' kita masing-masing.
Saling mendoakan dan menghapus sakit di hati juga adalah jalan damai di hadapan kita.


Saya pulangkan kembali hati kamu yang telah kamu berikan beberapa waktu yang lalu. 
Meskipun ada retak-retak di beberapa penjurunya, tetapi saya yakin ianya bukanlah retakan yang tidak dapat diperbaiki.
Waktu tidak akan menyembuhkannya, tapi melalui waktu itu kamu akan perlahan-lahan lupa akan kesakitan yang saya akibatkan di hati kamu.
Pertimbangkanlah saya untuk kekal menjadi sahabat kamu kerana posisi itu mungkin lebih layak untuk saya tempati

Wednesday, September 7, 2011

Berdamai dengan takdir

"From small beginnings came great things"
[Proverb]


Saya perlu memulakan segalanya sekali lagi.
Membuka langkah yang telah saya awali 7 tahun dulu.
Penat? Ya.
Sedih? Ya.
Sakit hati? Ya.
Rasa tidak adil? Ya.
Dendam? Tidak.
Marah? Tidak.


Semoga perjalanan yang perlu saya awali sekali lagi ini,
akan ada berkahnya di sisi Yang Maha Esa,
akan berlangsung mudah dan penuh dengan petunjuk,
akan berawal dan berakhir dengan penuh hidayah Allah.
Saya sangat berharap untuk sekali ini.


Saya maafkan dia yang telah menghuru-harakan hidup saya.
Sambil juga saya berharap agar dia cepat-cepat menghapus saya dari ingatannya.
Supaya kenangan kami yang 'sakit' dapat terubat semampu yang kami terdaya.
Supaya jejak-jejaknya di hati saya dapat saya hapus perlahan-lahan.
Supaya tempat saya dihatinya dapat digantikan oleh yang lebih layak.


Saya dan kamu harus berdamai dengan takdir Yang Mencipta.
Saya telah berdamai dengan takdir-Nya beberapa waktu dulu.
Tidak menyangka, saya perlu berdamai dengan 'nya' sekali lagi.
Nasihat saya kepada kamu; terimalah takdir ini dan berdamai dengannya.
Kerana, bagaimana hebat pun kita berjuang untuk memenangi-Nya,
kita tidak akan pernah beroleh kejayaan sepanjang Dia masih berkata 'tidak' untuk kita berdua.


Saya dan kamu akan tiba di suatu waktu di mana Tuhan berkata 'ya' dan memperkenankan apa yang kita bisik-bisikkan dalam doa kita.
Mungkin di waktu itu, bukan nama saya yang kamu lafazkan dalam doa kamu, juga bukan nama kamu yang saya laung-laungkan dalam kalimat doa saya.
Tapi yakinlah bahawa Yang Maha Mencipta itu lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan kamu. 
Cukup di sini saja perjuangan kita. 
Berdamailah dengan takdir Tuhan, kerana kita masih meyakini-Nya sehingga detik ini.
Walaupun kita meyakini Tuhan yang berlainan.
Kita perlu melakukannya demi kebahagiaan kita masing-masing.







Sunday, August 28, 2011

Stranger

"A stranger is just a friend I have not met yet"
[Will Roger]


/1/
Dulu...
Sewaktu saya masih bersekolah dan menaiki bas balik ke rumah, ada seorang stranger [lelaki tua yang kelihatan berilmu] yang duduk di sebelah saya. Saya kira waktu itu saya di Tingkatan 3. Kami berbual-bual tentang persekolahan saya. Katanya, 
"Mari tanganmu biar pakcik lihat"
Saya menghulurkan tangan kanan bertentangan wajahnya.
"Ooo...kamu ini kalau besar bakal jadi guru" 
Begitu katanya setelah mengamati tangan saya.
>Dan saya sedikit terhibur waktu ini mengingat dia; lelaki tua yang budiman, yang sebenarnya telah Allah hadirkan untuk memberikan saya semacam 'hint' awal supaya saya bersedia untuk menghadapi apa yang ada sekarang. 


/2/
Sewaktu berurusan di Pejabat Pendidikan Tawau, saya masuk ke lif bersama seorang makcik yang sangat bergaya. Hanya kami berdua di dalam lif ketika itu.
Makcik Cantik : "Anak mahu ke tingkat berapa?
Saya : "Tingkat 5"
Makcik Cantik : "Destinasi kita sama, mahu jumpa siapa di sana?"
Saya : "Mahu berjumpa dengan pegawai pendidikan"
Makcik Cantik : "Adik saya pun kerja di pejabat pendidikan. Boleh makcik minta nombor telefon kamu?"
Saya : "Untuk apa makcik?"
Makcik Cantik : "Adalah..."
>Perbualan kami terputus bila dia dan saya sudah sibuk dengan urusan kami masing-masing. Kami berbagi jalan, membelok ke arah yang berbeza. Saya menyimpulkan sendiri kenapa dia meminta nombor telefon saya tadinya. Pasti dia ingin memperkenalkan saya dengan anak lelakinya. huahuahua...


/3/
Tidak ada yang namanya kebetulan di dunia ini. Semua yang saya kategorikan sebagai 'stranger' sebenarnya adalah orang yang memang sepatutnya saya temui. Mereka adalah orang-orang yang Allah ciptakan dan takdirkan bertemu dengan saya dan memberi pelajaran-pelajaran hidup kepada saya. 







Monday, August 15, 2011

Mo[u]rning dew

"The dew of compassion is a tears"
[Lord Byron] 

Ketika itu embun baru berangkat turun ke bumi.
Ketika saya sedar bahawa di antara dia dan saya bertaut satu tali yang tergantung kata 'MUSTAHIL'.
Mungkin bulan itu adalah bulan yang baik,
bulan Jun yang nyaman.
Tetapi kami bukan insan yang sepatutnya berjumpa di bulan itu.
Semacam kami memaksa-maksa bulan itu untuk menjadi saksi bahawa kami berjumpa di waktu yang tepat.
Seperti kata yang Denny rangkaikan di blognya;
"Maafkan saya kerana kamu terlanjur sayang dengan perempuan yang kenangannya sakit".
Saya juga ingin merangkaikan kata itu kepada dia.
Sekarang kita perlu belajar untuk saling memaafkan.
Maafkan saya kerana membuat lubang dihati kamu,
saya maafkan kamu yang juga telah membuat lubang yang besar dihati saya.



Friday, August 12, 2011

The saddest part of my life

"Waktu berhenti, jarum jam patah di tengah. Ada yang retak pelan-pelan. Apakah kaca di hati kita?
[Enno-Fragile Heart]

/1/
KAU pasti sangat mendengar bila mana hati saya retak perlahan-lahan.
KAU juga pasti akan membuatnya bercantum lagi pada waktu yang tepat.

/2/
KAU pasti melihat saat satu persatu air mata jatuh dan saya hapus dengan ego.
KAU juga pasti telah menjanjikan bayaran untuk air mata itu.
kan [?]






Saturday, July 30, 2011

Membahas "CINTA YANG AGUNG"

"Akan tiba saatnya di mana kamu harus berhenti  mencintai seseorang, bukan kerana orang itu berhenti mencintai kita, MELAINKAN kerana kita menyedari bahawa orang itu akan lebih berbahagia apabila kita melepaskannya" 


CINTA YANG AGUNG;


Adalah ketika kamu menitikkan airmata dan MASIH peduli terhadapnya.
[Saya masih peduli dengannya, sebab itu saya tidak pernah malu untuk sentiasa sekadar menyapanya bilamana 'coincidence' berjumpa di YM, walaupun sapaan saya tidak pernah berbalas]


Adalah ketika dia tidak mempedulikanmu dan kamu MASIH menunggunya dengan setia.
[Saya memang selalu setia menunggunya, walaupun dia selalu lupa  tentang itu. Saya juga telah membazirkan beberapa waktu saya kerana ingin terlihat setia menunggunya]


Adalah ketika dia mulai mencintai orang lain dan kamu MASIH bisa tersenyum sembari berkata 'Aku turut berbahagia untukmu'.
[Saya memang sedang tersenyum waktu ini kerana mengingatkan dia juga sedang berbahagia dengan hidupnya. Doa yang terbaik saya kirimkan untuk dia, di antara kami memang Tuhan hanya tuliskan untuk sekadar bersahabat]


Apabila cinta tidak tergapai, BEBASKAN dirimu. Biarkan hatimu kembali melebarkan sayapnya dan terbang ke alam bebas LAGI.
[Hati saya memang seharusnya bebas; bebas dari membenci dia dan bebas dari mengingati bagaimana tidak seriusnya dia dengan cinta yang saya berikan. Telah saya berikan kebebasan kepada hati saya untuk terbang ke mana saja yang dia inginkan; lihat, rasa, cari, dan bawa pulang lagi cinta yang lebih jernih dari sebelumnya. Saya yakin saya mampu mendapatkannya....LAGI]


Ingatlah, bahawa kamu mungkin menemukan cinta dan kehilangannya. Tapi, ketika cinta itu mati, kamu tidak perlu MATI bersamanya.
[Itu hakikat alam yang sudah wujud sejak Adam-Hawa tiba di bumi. Saya akur dengannya. Saya juga tidak rela mati hanya kerana penolakan dia terhadap cinta yang saya tawarkan. Saya juga tidak meminta dia bermati-matian mengejar cinta saya sedangkan di dalam hatinya tersimpan insan lain yang lebih mampu membahagiakannya. Saya berdamai dengan takdir Yang Maha Berkuasa, saya aminkan doa 'Semoga dia berbahagia dengan pilihannya']



Wednesday, July 27, 2011

Sepanjang jalan kenangan

"Sengaja aku datang ke kotamu, lama nian tidak bertemu.
Ingin diriku mengulang kembali, berjalan-jalan bagai tahun lalu.
[Tetty Kadi]


Saya sempat menyimpan beberapa kenangan yang indah-indah 30 tahun kebelakangan ini.
Berkesempatan menyisipkan beberapa anekdot penting yang dapatlah saya banggakan di hari-hari tua saya nanti.
Kenangan-kenangan yang tidak penting untuk orang lain tetapi amat mempunyai 'sentimental value' untuk saya. 
Momen-momen tidak bererti pada mata orang lain tetapi itulah 'aha' momen yang akan saya hargai sepanjang jalan hidup saya.
Kerana; bukan ukuran peri pentingnya kepada orang lain tetapi betapa mendalamnya kesan untuk setiap kenangan itu kepada diri saya. 


Sepanjang jalan kenangan itu;
>Saya dititipkan oleh Yang Maha Mencipta kepada satu pasangan Adam-Hawa yang sangat baik.
>Saya dipaksa oleh suasana untuk membesar dengan segala kekurangan tetapi malah bertukar menjadi kelebihan-kelebihan yang tidak terjangkakan.
>Saya tumbuh menjadi remaja yang pintar, sihat, pandai, sopan dan Allah titipkan banyak sifat-sifat mahmudah untuk mengimbangi ekonomi saya yang sentiasa kelam.
>Saya berkesempatan mencari ilmu di tempat yang saya pilih sendiri, dan dari beberapa orang berilmu yang hebat [dimata saya tentunya].
>Saya tidak perlu menganggur lama untuk mendapatkan penghasilan, dalam perencanaan Yang Maha Berkuasa saya ini diberikan tugas untuk mengajarkan ilmu perniagaan.
>Saya dipertemukan dengan ramai orang baik-baik, orang yang membantu saya membina karier sehingga menjadi saya yang saat ini.
>Saya juga dipertemukan dengan beberapa calon soulmate yang bukan sekadar hebat tetapi baik perlakuannya. 
>Saya dianugerahkan Yang Maha Indah dengan banyak nikmat tidak terbilang yang kadang lupa untuk saya syukuri.
>Saya diberikan kesempatan untuk membina hidup dan mencampuri beberapa kehidupan orang lain dengan penuh harap saya akan memberi kesan yang indah dalam hidup mereka, dikenang sebagai pahlawan kecil dari Pegagau.
>Saya dipaksa menghadapi ujian yang tidak terbayang oleh fikiran saya, dan diakhirnya saya buntu sendirian harus bagaimana menyelesaikannya.


Saya siap lagi untuk terus melakar jalan-jalan kenangan selagi Allah masih memberi saya hidup. Jalan-jalan kenangan yang sangat berharga untuk dilupakan dan sangat bererti untuk sentiasa diraikan. Toga telah berpesan; BERTAHAN HIDUP BUKAN BERERTI TAKUT MATI. Saya yakin disatu hari yang sangat sesuai saya juga akan mati, tetapi saya memilih untuk berjuang hidup buat waktu ini. Jika pun dalam jalan perjuangan itu saya dikehendaki Allah untuk mati, maka akan saya khabarkan kepada DIA Yang Maha Tahu bahawa saya telah berjuang semampu saya tetapi siapa saya untuk membelakangi takdir dari-NYA. 


Saya siap untuk apa saja tentangan hidup di hadapan, asalkan KAU Yang Maha Segalanya juga siap mendengar segala doa saya dari sudut dunia manapun saya mengirimkannya.



Saturday, June 18, 2011

7 years of LOVE

"Where flowers bloom, so does hope"
[Lady Bird Johnson]

We met for seven years # No one knew we would say goodbye this easily
However we still separated # With the memories we built for a long time, now gone
How did we at such a young age # Meet each other, I don’t even remember how
Difficult for us to handle the maps of our changing selves # They said saying goodbyes are painful # But I didn’t even have time to feel that
I just thought this is the way staying composed # But I cried
Time passed it gave me a simple yearning # Different from what my mind was seeing
At first friends then next as lovers # We said we’d stay as friends even if we separated # During those 3 years spent alone # We contacted each other sometimes
Even if I met someone else again # Even I loved again
Whenever I was sad I would call you without a word just tears falling
You have to meet a good person # I thought in my heart without any words
I asked if you still liked me without any thought hoping you say it back
I know # We had the most pure love
Back then we thought that kind of love couldn’t be done again se we saved it in out memories # Often I feel a cold feeling from you
But now I know you cannot ask anything
“I’m getting married” is what you said to me # After that for a long time I was speechless # Then I cried they were your last words to me
For the only words I wanted to hear was that you loved me



Lagu ini nyanyian Kyunhyun [Super Junior] yang bait-baitnya sangat sesuai untuk saya dan Bani. Sama seperti lagu Adele-Someone like you.
7 tahun perkiraan paling sempurna saya kenal dia. Meskipun dia tidak mengatakan kepada saya bahawa dia telah menikah tapi saya yakin dia juga telah berhenti menunggu saya. Saya juga. Walaupun kami tidak mengucapkan selamat tinggal secara rasmi tetapi saya yakin semua itu tidak perlu. 
Kami berpisah dengan suasana yang paling indah, tidak bersisa dengan sakit hati.
Sekarang kami hanya saling mendoakan keselamatan dan kebahagiaan masing-masing walau entah dari mana doa itu dikirimkan.

Sunday, June 12, 2011

Unforgetable

"A woman should be like a single flower, not a whole bouquet"
[Anna Held]

Kembali ke tahun 2008,
makcik saya yang paling rapat pass away.
Saya sempat menziarahinya di hospital, sempat melihat betapa deritanya dia menanggung sakit dan betapa banyak sesal yang saya tanggung di kemudiannya.
Dia saudara terdekat bapa saya.
Yang sewaktu saya kecil selalu membawa saya pulang ke rumahnya kerana dia tidak memiliki anak perempuan, maka saya secara automatik adalah anak perempuannya juga.
Wajahnya sangat keibuan, berhati malaikat dan dialah saudara bapa saya yang tidak menghina-hina kemiskinan kami.
Sesalnya saya kerana Hari Raya terakhir dalam hidupnya saya tidak datang bertamu ke rumahnya beralaskan alasan lapuk yang saya sangat sesali sekarang.
Sempat saya titipkan duit raya untuknya melalui adik saya yang sebenarnya bukan itu yang dia butuhkan, hanya saya hadir di hadapannya sudah mencukupi.
Dia adalah satu figura yang sangat tidak terlupakan, yang melayan saya seperti anak-anak kecil meski saya telah berkerjaya.
Banyak budinya kepada saya dan keluarga yang tidak terbalas dan saya berharap dulu saya mempunyai masa untuk membalas kalau tidak semua, sebahagian dari kebaikannya itu.
Dan akhirnya, saya terpaksa menyerahkan tugas itu kepada yang Maha Kuasa.


Minggu yang lalu, 
saya kehilangan lagi seorang yang telah menjadi saksi kehidupan saya selama 30 tahun ini.
Kehilangan mengejut yang sehingga kini masih cuba saya cerna dengan hati yang murni.
Berita itu mengejutkan segenap komuniti kampung dan pasti lebih mengejutkan keluarganya.
Namun yang menjadikan kehilangan itu menjadi kehilangan yang besar adalah prosesnya untuk memberitahu kepada isterinya yang tercinta bahawa dia akan pergi dahulu.
Kisah yang mengharukan hanya dengan melihat ke wajah si isteri membuatkan saya ingin menangis. 
Saya menjadi takut dengan situasi sendiri.
Menjadi tertanya-tanya akan jalan hidup saya sendiri. 

Thursday, May 19, 2011

Menunggu

"It is strange that the years teach us patience; that the shorter our time, the greater our capacity for waiting.
[Elizabeth Taylor]

Saya telah berhenti menunggunya, dia juga.
Kami telah sampai ke satu tahap di mana kami mengerti dengan ketentuan Tuhan; yang telah menentukan bahawa tali yang saya pegang tidak bersambung ke tali yang dia pegang.


Dia dan saya berhenti menunggu di waktu yang tepat, di tempat yang telah kami yakini sesuai; tempat yang tidak bersisa dengan airmata dan tidak meninggalkan dendam, di tempat yang sangat aman.


Kami masih menyisakan beberapa kenangan yang manis untuk diceritakan kepada anak-anak kami nantinya.
Cerita di mana seorang pemuda polos jatuh cinta dengan seorang gadis yang tidak tentu hidupnya.
Cerita seorang gadis berantakan yang mencari-cari pemuda polos itu setelah 5 tahun tanpa kabar. 
Dan di penghujung cerita itu; mereka berdamai dengan takdir.


Dia dan saya telah berhenti menunggu.
Saya yakin dia akan bertemu dengan orang yang sepatutnya dia tunggu. Saya juga.


Di akhirnya, sangat adil Yang Maha Esa itu.
Mentakdirkan saya bukan untuk dia dan dia bukan untuk saya tetapi memberikan kami masa untuk menunggu.



Rumit


Saya kira, saya sudah sedikit mengerti dengan apa yang berlaku beberapa waktu ini.
Saya juga bersyukur masih diberi masa untuk mengetahui 'proses pengertian diri' itu.
Beberapa waktu ini saya menjauhkan diri dari semua yang pernah mengelilingi saya 5 tahun kebelakangan.
Dalam tahun-tahun itu, saya seperti sedang berada dalam jajahan mereka-mereka yang katanya rapat dengan saya.
Mereka-mereka yang mengatakan bahawa saya ini ada nilainya dalam hidup mereka. 
Dan ternyata, saya cuma seorang manusia yang Tuhan takdirkan singgah seketika dalam hidup mereka tanpa meninggalkan jejak.
Dan sekarang saya tahu nilai saya kepada mereka. Telah memahami tempat sebenar saya di hati mereka. Cukuplah setakat itu, kerana kalau dilanjutkan nanti hati saya sendiri yang sedih tidak tentu.


Akhirnya saya mengerti erti hidup saya, memahami 'mood' dan 'temper' diri sendiri.
Apa lagi yang lebih menyenangkan dari anugerah itu.


Saya ini orang yang suka buang-buang waktu di rumah; tidur sampai puas, makan bila lapar dan bersenang-senang sendiri. 
Saya ini tidak begitu kisah dengan acara-acara 'mencari cinta' yang pernah saya lakonkan ketika dulu dengan beberapa orang rakan.
Saya tidak takut sendiri, bergerak solo atau apa saja nama untuk kesunyian.
Saya perlu mengakui bahawa saya kecewa dengan sahabat-sahabat saya; yang mencari saya ketika mereka susah, yang membohongi saya secara terbuka.
Saya tinggalkan mereka, dan membina suasana seperti yang ada sekarang; sendiri tetapi aman.
Saya lupakan keluarga saya yang tidak mengakui keberadaan saya sewaktu saya miskin dan tidak berharta.


Jadi, di sinilah saya;
di sebuah bandar kecil yang saya pilih untuk membina hidup,
di sebuah rumah kecil berbilik 3 yang saya dekorasi sendiri.
Saya berharap supaya hidup saya akan 'sunyi dan aman' di sini.
Berharap agar, apa yang ada dalam benak saya mengenai hidup yang saya inginkan akan teraspirasi di sini. 
Saya bakal berhadapan dengan kerumitan, tetapi saya berharap jika waktu itu tiba, saya tidak tersungkur dan mati.



Monday, May 9, 2011

Looking back

"to be able to look back upon ones life in satisfaction, is to live twice"
[Kahlil Gibran}

Saya tidak suka melihat ke belakang;
melihat apa yang telah berlaku sepanjang saya hidup.
Melihat masa lalu yang pahit dan mengecewakan, yang membuatkan saya ingin pulang ke masa lalu itu dan memperbaikinya.
Untuk melihat ke masa lalu memerlukan keberanian yang besar.
Kerana; melainkan ada yang bagus lebih baik memilih untuk tidak melihat kembali ke masa lalu itu.

Saturday, April 16, 2011

My small world

"Inilah permandangan dunia yang saya inginkan, sangat sederhana"


/1/
Dunia saya memang cukup kecil,
Perhubungan saya juga tidak luas.
Itu hakikat yang saya akui.
Akhir-akhir ini, saya bataskan dunia itu menjadi semakin kecil.
Menjadi satu dunia yang 'untouchable'.
Menjadi sebuah dunia yang senyap.
Dan pasti di akhirnya menjadi dunia saya yang 'complicated' pada anggapan orang luar.


/2/
Saya ini adalah peribadi yang sangat rumit.
Peribadi yang sangat sulit untuk orang lain ikut mengertikannya.
Kerana itu, kawan saya tidak ramai, keluarga juga sangat sedikit yang saya kenali.
Jaringan sosial saya hanya sekitar rumah dan tempat kerja.
Dunia saya ini adalah dunia yang amat membosankan bagi orang lain.


/3/
Saya tidak pernah menyesal mengenali keluarga saya dalam jumlah yang amat sedikit.
Juga saya tidak pernah bersedih kerana kawan saya hanya terbilang dengan sebelah tangan.
Saya ini hanyalah seorang lagi hamba Allah yang kecewa dengan hakikat kuno dunia;
bahawa keluarga hanya akan memandang kita bila berharta,
bahawa yang bernama kawan hanya akan mencari kita ketika mereka susah.
Saya ada kedua-dua situasi itu,
saya berpengalaman dengan hakikat itu.


/4/
Saya masih ingat semua pandangan hina keluarga saya kepada saya dan ibu bapa saya. Masih jelas diingatan saya layanan mereka kepada kami yang Tuhan takdirkan miskin. Saya selalu ingat dengan setiap perincian dari perbuatan mereka kepada ibu bapa saya. Ingatan itu tidak pernah saya hapuskan dan dalam diam-diam saya masih menyimpan dendam bahawa saya tidak akan melupakan perbuatan mereka. 
Mereka, yang seharusnya membantu saya malah melupakan bahawa saya ini adalah sebahagian dari darah keturunan mereka. 
Mereka, yang sepatutnya membela saya saat saya susah malah menghina-hina ibu bapa saya. 
Saya tidak pernah ikhlas untuk memaafkan mereka, kerana mereka telah melukai saya dengan sangat dalam. 
Kerana mereka telah meninggalkan kenangan pahit di masa kanak-kanak saya yang seharusnya riang-bahagia.


/5/
Akhir-akhir ini saya bataskan hidup saya dari beberapa teman rapat. Mula jarang bertanya kabar mereka, sudah jadi malas membalas mesej mereka di telefon. Saya kira sudah sampai masa untuk saya berundur sedikit dari hidup mereka. Sudah saat yang sesuai untuk saya tidak menjadi orang yang sangat relevan dalam hari-hari mereka. 
Di kemudian harinya, mereka akan tahu pasti bahawa begitulah peraturan dunia ini; bahawa akan sampai waktunya kita menarik diri sedikit dari keberadaan hidup teman-teman.
Niat saya amat ikhlas, di sebaliknya saya hanya ingin melindungi hati saya dari beberapa perasaan tidak sihat yang pernah dan bakal berlaku.


/6/
Itulah dunia saya yang sangat kecil.
Yang di dalamnya saya bangun sebuah rumah kecil yang sederhana.
Rumah yang saya usahakan sendiri dan sempat menitiskan air mata dan keringat, kerana itu saya sangat menghargainya.
Yang saya usahakan berjalan jauh hanya untuk memasang air dan elektrik. Saya bangga ada pengalaman itu, kerana di luar sana, perempuan seperti saya tidak ada yang sanggup bersusah seperti itu.
Rumah ini cukup kecil tetapi mudah-mudahan memberikan saya bahagia yang berpanjangan. 
Misi saya bukanlah untuk membangun rumah berbilik 10, cukup yang ada sekarang ; saya sudah puas hati.
Misi saya juga bukan untuk memiliki beribu teman yang tidak seorang pun menghiraukan saya saat susah nanti.
Juga mempunyai keluarga yang ramai dan hanya memerhatikan saya saat saya ditimpa musibah.
Saya hanya memerlukan cukup seorang teman yang bakal menangis dengan jujur saat saya mati dan 6 orang keluarga yang sanggup mengusung jenazah saya ke tanah perkuburan.
Tidak ramai teman yang sanggup menangis dengan jujur saat kita tertimpa musibah, yang hanya diam tanpa kata ketika kita bersedih kerana dia tahu itulah yang terbaik ketika itu.
Juga keluarga yang memberi kita makanan yang paling sederhana tetapi ikhlas pada setiap kunjungan, bukan yang memberikan kita makanannya yang terbaik setelah kita sudah berjaya. 


/7/
Saya masih kabur dengan perancangan Tuhan.
Saya masih tertanya-tanya kenapa terlalu banyak kesusahan yang dihimpunkan dalam jalan hidup saya.
Saya masih menunggu jawapan dari semua doa yang saya kirimkan kepada-Nya.
Kata-Nya, Dia pasti memakbulkan doa-doa saya itu ; 
cepat atau lambat hanya itu ukurannya.

Saturday, March 26, 2011

Only Time

"Who knows....only time"
[Enya]

Siapa tahu apa akan berlaku sekejap lagi?
Yang berlaku bertahun yang lalu juga sangat rahsia sebelum ianya berlaku.
Yang terjadi beberapa bulan yang lepas juga masih rahsia sehingga ianya terjadi.
Yang saya jalani beberapa hari yang lalu juga sangatlah rahsia sehingga Tuhan berkata saya berhak untuk mengetahuinya.
Semua sangat sembunyi pada mulanya,
semua sangat kabur dan tersimpan kemas di dalam pengetahuan Tuhan sehingga Dia berkata saya layak untuk menjalani rahsia tersebut.
Segalanya disembunyikan dari saya dan penyimpan rahsia Tuhan yang bernama "masa" tidak pernah memberikan saya peluang untuk mengintai walau sekadar sebabak dari kisah saya di masa hadapan.


Hanya masa.
Only Time, kata Enya.
Yang menentukan ke mana lagi jalan hidup saya selepas ini. 
Yang menentukan bagaimana lagi hari-hari saya akan berlalu selepas ini.
Yang menentukan akankah cinta berkembang lagi dihati saya.
Yang menentukan berupayakah saya memaafkan orang-orang yang melukai hati saya.
Yang menentukan adakah saya mampu mencari apa yang telah hilang dari hidup saya.
Yang menentukan apakah saya masih boleh menjadi sesuci Haswiah seperti 20 tahun yang sudah.
Hanya masa, saya bebankan semua tugas berat ini kepada 'dia'.
Dan tugas 'nya' yang paling sukar adalah menyembuhkan hati saya yang telah dilukai oleh banyak jiwa. 
Tidak ada dateline untuk tugas ini, semoga 'masa' mengambil masanya untuk berbuat demikian kepada saya.
Semoga 'dia' berupaya melaksanakannya,
sebelum saya kehabisan masa,
sebelum Tuhan berkata saya sudah kehabisan masa.

Sunday, February 20, 2011

Takdir saya

"Our destiny changes with our thought; we shall become what we wish to become, do what we wish to do"
[Orison Swett Marden]

Dunia ini nampak kecil?
Mungkin bagi yang bertemu dengan sesuatu yang mustahil.
Dunia ini kelihatan begitu besar?
Saya tegak di sisi pernyataan itu.


Dunia ini terlalu besar bagi saya.
Kerana besarnya, kadang-kadang saya terasa ia akan menelan saya hidup-hidup.
Bagaimana saya hidup senegeri dengan 'dia' tetapi tidak pernah crossed each other.
Bagaimana saya menjelajahinya tetapi tetap masih terlalu luas  yang tertinggal untuk diterokai.


Dunia yang saya pijak hari ini pasti telah berubah dari dunia yang pertama kali dipijak Hawa.
Yang belum berubah hanya langit dan perhiasannya. 
Bulan yang dilihat Adam dan Hawa masih lagi bulan yang saya lihat sekian malam.
Matahari yang muncul setiap dinihari juga masih sama dengan matahari yang menghiasi dinihari Hawa.


Dunia ini ada takdir-takdirnya yang tersendiri.
Yang diselingkan dengan takdir manusia yang hidup setiap zamannya.
Yang di dalamnya terselit juga takdir saya dan 'dia'.
Takdir yang sudah ditulis Tuhan untuk tidak bersilang antara satu sama lain.
Takdir yang kami yakini dari Tuhan dan menerimanya selepas bertarung untuk menukarnya.

Wednesday, February 16, 2011

Perjalanan yang masih berjalan

"everyday is a journey and the journey itself is home"
[Matsuo Basho]

Untuk berada di tempat saya sekarang ini,
saya telah melakukan perjalanan yang lumayan panjang.
Telah bertemu dengan yang namanya Mr. Kegagalan sebelum akhirnya menemui Mr. Kejayaan.
Saya juga sudah biasa bejumpa dengan kesedihan yang berakibat menitiskan airmata.
Sudah selalu dikhianati ramai manusia.
Sudah kerap disakiti orang sekeliling.
Saya tidak bongkak untuk berkata; 
hidup saya berawal dengan segala kegetiran dan belum berakhir sampai hari ini.


Perjalanan yang sudah 30 tahun saya akrabi ini;
senangnya sedikit, susahnya berjela tanpa jeda.
ketawanya sekejap, tangisannya belum berhujung sampai hari ini.
Saya berprasangka;
mungkin Tuhan sudah tidak mahu memprhatinkan saya.
mungkin doa saya tidak sampai kepada-Nya.
ataukah DIA sedang sibuk mempersiapkan saya untuk sesuatu yang TERBAIK???


Seperti kata seorang blogger Indonesia;
tetaplah bertahan hidup walau bagaimana susah sekalipun jalannya, kerana bertahan hidup bukanlah bermaksud kita takut mati.
Saya kira itu nasihat paling sesuai untuk saya waktu ini.


p/s :
Saya ingin kembali ke 2010
["kembali" sememangnya kenangan yang paling indah]

Thursday, February 3, 2011

Musim Hujan

"Let a smile be your umbrella, and you will end up with a face full of rain"
[George Carlin]

Tidak begitu lama dulu, saya tidak suka kalau hujan turun.
Tanah dilaman rumah saya akan becak,
kasut sekolah saya bakal kotor,
atap rumah saya bakal bocor,
paling negatif bila saya malas bangun pagi bila hujan turun.


Itu cerita zaman sekolah dulu,
waktu saya tidak kenal rapat dengan alam,
waktu saya hanya mementingkan diri sendiri,
waktu saya tidak banyak membaca buku dan fikiran-fikiran ilmuan ulung,
waktu saya berada di zaman jahiliah hidup saya.


Saya sudah tahu erti hujan sekarang.
Saya sudah tidak merungut lagi bila hujan turun.
Saya sudah pandai mengendalikan emosi 'tidak suka' saya kepada hujan.
Saya sudah belajar kenapa hujan mahu bertamu ke bumi.


Sekarang saya sangat suka dengan hujan,
suka dengan haruman khas yang dibawanya kepada tanah,
suka dengan keramahannya kepada pohon-pohon,
suka dengan rintik-rintiknya yang seperti kristal jatuh dari langit,
suka dengan bunyi yang terhasil bila ianya menimpa bumbung rumah.


Saya dan hujan punya banyak cerita yang bersamaan.
Ianya menemani saya dalam momen-momen penting.
Ia menemani saya bertemu dengan 'harapan' saya beberapa tahun yang lalu.
Ia menemani saya ketika saya bersendirian menjalankan tugas di sekolah dulu.
Ia menjadi saksi jatuh-bangun hidup saya 3 dekad ini.
Banyak jasa hujan yang tidak terbalas meski sampai saya bertemu tanah nantinya.
Waktu itu saya berharap dia juga menemani saya.
Melihat hujan seperti melihat harapan-harapan kecil yang Tuhan kirimkan dari langit  kepada saya.