Powered By Blogger

Saturday, March 26, 2011

Only Time

"Who knows....only time"
[Enya]

Siapa tahu apa akan berlaku sekejap lagi?
Yang berlaku bertahun yang lalu juga sangat rahsia sebelum ianya berlaku.
Yang terjadi beberapa bulan yang lepas juga masih rahsia sehingga ianya terjadi.
Yang saya jalani beberapa hari yang lalu juga sangatlah rahsia sehingga Tuhan berkata saya berhak untuk mengetahuinya.
Semua sangat sembunyi pada mulanya,
semua sangat kabur dan tersimpan kemas di dalam pengetahuan Tuhan sehingga Dia berkata saya layak untuk menjalani rahsia tersebut.
Segalanya disembunyikan dari saya dan penyimpan rahsia Tuhan yang bernama "masa" tidak pernah memberikan saya peluang untuk mengintai walau sekadar sebabak dari kisah saya di masa hadapan.


Hanya masa.
Only Time, kata Enya.
Yang menentukan ke mana lagi jalan hidup saya selepas ini. 
Yang menentukan bagaimana lagi hari-hari saya akan berlalu selepas ini.
Yang menentukan akankah cinta berkembang lagi dihati saya.
Yang menentukan berupayakah saya memaafkan orang-orang yang melukai hati saya.
Yang menentukan adakah saya mampu mencari apa yang telah hilang dari hidup saya.
Yang menentukan apakah saya masih boleh menjadi sesuci Haswiah seperti 20 tahun yang sudah.
Hanya masa, saya bebankan semua tugas berat ini kepada 'dia'.
Dan tugas 'nya' yang paling sukar adalah menyembuhkan hati saya yang telah dilukai oleh banyak jiwa. 
Tidak ada dateline untuk tugas ini, semoga 'masa' mengambil masanya untuk berbuat demikian kepada saya.
Semoga 'dia' berupaya melaksanakannya,
sebelum saya kehabisan masa,
sebelum Tuhan berkata saya sudah kehabisan masa.

Sunday, February 20, 2011

Takdir saya

"Our destiny changes with our thought; we shall become what we wish to become, do what we wish to do"
[Orison Swett Marden]

Dunia ini nampak kecil?
Mungkin bagi yang bertemu dengan sesuatu yang mustahil.
Dunia ini kelihatan begitu besar?
Saya tegak di sisi pernyataan itu.


Dunia ini terlalu besar bagi saya.
Kerana besarnya, kadang-kadang saya terasa ia akan menelan saya hidup-hidup.
Bagaimana saya hidup senegeri dengan 'dia' tetapi tidak pernah crossed each other.
Bagaimana saya menjelajahinya tetapi tetap masih terlalu luas  yang tertinggal untuk diterokai.


Dunia yang saya pijak hari ini pasti telah berubah dari dunia yang pertama kali dipijak Hawa.
Yang belum berubah hanya langit dan perhiasannya. 
Bulan yang dilihat Adam dan Hawa masih lagi bulan yang saya lihat sekian malam.
Matahari yang muncul setiap dinihari juga masih sama dengan matahari yang menghiasi dinihari Hawa.


Dunia ini ada takdir-takdirnya yang tersendiri.
Yang diselingkan dengan takdir manusia yang hidup setiap zamannya.
Yang di dalamnya terselit juga takdir saya dan 'dia'.
Takdir yang sudah ditulis Tuhan untuk tidak bersilang antara satu sama lain.
Takdir yang kami yakini dari Tuhan dan menerimanya selepas bertarung untuk menukarnya.

Wednesday, February 16, 2011

Perjalanan yang masih berjalan

"everyday is a journey and the journey itself is home"
[Matsuo Basho]

Untuk berada di tempat saya sekarang ini,
saya telah melakukan perjalanan yang lumayan panjang.
Telah bertemu dengan yang namanya Mr. Kegagalan sebelum akhirnya menemui Mr. Kejayaan.
Saya juga sudah biasa bejumpa dengan kesedihan yang berakibat menitiskan airmata.
Sudah selalu dikhianati ramai manusia.
Sudah kerap disakiti orang sekeliling.
Saya tidak bongkak untuk berkata; 
hidup saya berawal dengan segala kegetiran dan belum berakhir sampai hari ini.


Perjalanan yang sudah 30 tahun saya akrabi ini;
senangnya sedikit, susahnya berjela tanpa jeda.
ketawanya sekejap, tangisannya belum berhujung sampai hari ini.
Saya berprasangka;
mungkin Tuhan sudah tidak mahu memprhatinkan saya.
mungkin doa saya tidak sampai kepada-Nya.
ataukah DIA sedang sibuk mempersiapkan saya untuk sesuatu yang TERBAIK???


Seperti kata seorang blogger Indonesia;
tetaplah bertahan hidup walau bagaimana susah sekalipun jalannya, kerana bertahan hidup bukanlah bermaksud kita takut mati.
Saya kira itu nasihat paling sesuai untuk saya waktu ini.


p/s :
Saya ingin kembali ke 2010
["kembali" sememangnya kenangan yang paling indah]

Thursday, February 3, 2011

Musim Hujan

"Let a smile be your umbrella, and you will end up with a face full of rain"
[George Carlin]

Tidak begitu lama dulu, saya tidak suka kalau hujan turun.
Tanah dilaman rumah saya akan becak,
kasut sekolah saya bakal kotor,
atap rumah saya bakal bocor,
paling negatif bila saya malas bangun pagi bila hujan turun.


Itu cerita zaman sekolah dulu,
waktu saya tidak kenal rapat dengan alam,
waktu saya hanya mementingkan diri sendiri,
waktu saya tidak banyak membaca buku dan fikiran-fikiran ilmuan ulung,
waktu saya berada di zaman jahiliah hidup saya.


Saya sudah tahu erti hujan sekarang.
Saya sudah tidak merungut lagi bila hujan turun.
Saya sudah pandai mengendalikan emosi 'tidak suka' saya kepada hujan.
Saya sudah belajar kenapa hujan mahu bertamu ke bumi.


Sekarang saya sangat suka dengan hujan,
suka dengan haruman khas yang dibawanya kepada tanah,
suka dengan keramahannya kepada pohon-pohon,
suka dengan rintik-rintiknya yang seperti kristal jatuh dari langit,
suka dengan bunyi yang terhasil bila ianya menimpa bumbung rumah.


Saya dan hujan punya banyak cerita yang bersamaan.
Ianya menemani saya dalam momen-momen penting.
Ia menemani saya bertemu dengan 'harapan' saya beberapa tahun yang lalu.
Ia menemani saya ketika saya bersendirian menjalankan tugas di sekolah dulu.
Ia menjadi saksi jatuh-bangun hidup saya 3 dekad ini.
Banyak jasa hujan yang tidak terbalas meski sampai saya bertemu tanah nantinya.
Waktu itu saya berharap dia juga menemani saya.
Melihat hujan seperti melihat harapan-harapan kecil yang Tuhan kirimkan dari langit  kepada saya.

Wednesday, January 19, 2011

Saya kawan siapa?



Mengenang kembali zaman muda,
ketika masih menggendong beg yang sarat dengan buku,
di waktu masih berseragam biru-putih dan bertukar kelabu-putih,
sewaktu masih bersemangat mencari ilmu dari berpuluh guru yang masuk-keluar bilik darjah.
Saya ada semua kenangan itu.
Saya sarat dengan kenangan belajar yang yang menyeronokkan.
Tidak menyangka di depannya saya perlu pula mengajar.


Di zaman-zaman itu saya beroleh kawan.
Kawan yang sekadar singgah kerana berkeperluan.
Kawan yang datang dan tidak pergi hingga hari ini.
Kawan yang hanya bersama ketika melakukan tugasan.
Kawan yang terpaksa saya lupakan.


Saya hargai keberadaan mereka.
Kenapa???
Kerana mereka mengajarkan saya banyak hal.
Dari yang sekecil-kecil perkara kepada hal yang serius.
Saya syukuri kehadiran mereka,


Yang terkesankan dalam hati saya;
sahabat yang bernama Indah Rabiah. Dia unik dengan cara yang tersendiri.
Sahabat saya yang paling baik hati;
namanya Sarullah Lasulu.
Namanya terlalu 'kebugisan'.
Itu pendapat saya.
Dia sentiasa siap-siaga menolong saya.
Dia seperti abang dan keluarga rapat saya di sekolah lama dulu.
Erny Iskandar yang terlalu tegas; selalu teriak-teriak menyuruh kami turun gotong-royong.
Fplorinah yang menjadi tempat saya bertanya itu-ini;
Idah yang tidak menyangka saya akan datang sejauh perjalanan 6 jam untuk bertamu di majlis resepsinya.
Juga Kak Lina yang sentiasa menjaga saya,
menerima saya apa adanya, 
memperbaiki silap saya dengan lemah-lembut.
Dia bermuka penyayang dan berhati murni.
Mereka mewarnai episod persahabatan saya.


Sekarang,
kawan saya sudah berada jauh,
saya temui kawan baru tetapi saya ada syak yang tinggi.
Jadilah mereka hanya kawan biasa sahaja. 
Seperti perumpamaan seorang teman;
'kawan ke kantin'.



Tuesday, January 18, 2011

Unfinished sigh

"Anybody can pilot a ship when the sea is calm"
[Navjot Singh Sidhu]

Drama keluhan saya belum berakhir.
Kalau dilihat dari kronologinya,
diri saya sendiri yang bersalah besar.
Bukan Tuhan!!!
Malah Tuhan itu amat kasih-Nya kepada saya sehingga diberi-Nya semua yang saya minta.
Saya minta pindah sekolah, 
hanya dua kali mengisi permohonan terus dimakbulkan.
Kawan saya sudah enam kali mengisi permohonan baru Tuhan kabulkan.
Saya minta sebuah rumah kecil untuk berlindung,
Tuhan beri saya lebih dari apa yang ada diangan-angan saya dulunya.
Saya mohon berkemampuan membeli kereta,
malah saya memandu kereta yang tujuh kali lipat badan saya.
Saya selalu berdoa agar diberi lagi kesempatan untuk itu dan ini,
Tuhan malah memberi saya bonus dengan keriangan-keriangan kecil yang tidak terjangka.
Jadi, jika selalu saya mengeluh Tuhan itu tidak adil,
di mana sudut hidup saya yang Tuhan tidak berlaku adil?
di mana keperluan saya yang tidak Tuhan  penuhi?
Saya juga ikut pusing memikirkannya.


Saya berandai-andai sendiri.
Keluhan saya ini hadir dari rasa tidak syukur saya dengan nikmat yang saya perolehi.
Saya mengeluh penat kerana banyak kerja yang perlu disiapkan,
di luar lingkungan saya beribu bahkan berjuta yang mahu bekerja tapi belum mempunyai rezeki.
Saya mengeluh setiap kali harus pulang lewat senja dan memandu dalam kesesakan,
eh, malah ditepi jalan saya lewati seorang lelaki seusia ayah saya sedang mengayuh basikal juga baru pulang dari mencari rezeki. Untungnya saya memandu dalam kereta separa mewah, berhawa dingin dan penuh ciri-ciri keselamatan. Lelaki seusia ayah saya itu hanya berbasikal, memerlukan kudrat yang bukan alang-alang, berdepan pelbagai musibah luar jangka, tetapi kenapa terlihat hatinya senang-senang saja?


Saya jadi ingat,
bahawa dulu saya mempunyai hati itu.
Saya berkesempatan memiliki hati seperti itu.
Lalu saya kehilangan hati itu bersama beberapa ciri-ciri khas yang saya miliki dulu.
Saya buang hati yang telah saya miliki dulu;
hati yang penuh dengan nama-nama yang mahmudah.
Lalu, saya beli sebuah hati yang palsu, yang di dalamnya penuh dengan nama-nama yang mazmumah.
Kenapa saya membelinya?
Mungkin kerana harganya murah, balutannya juga menarik.
Hari ini saya mendapati hati itu rosak teruk.
Tapi saya tidak berniat untuk membeli hati lagi.
Akan saya cari hati saya yang dulu saya buang.
Akan saya perbaiki di mana perlu. 


Semoga saya masih belum terlambat.
Sehingga di suatu ketika nanti,  
saya bakal memiliki hati seperti lelaki tua sebaya ayah saya,
yang mengayuh basikal dengan gembira,
yang pulang ke rumah senyum-senyum manis lantaran memikirkan telah berbuat bakti seharian,
yang tidurnya nyenyak tanpa memikirkan apa akan berlaku esok hari.


Drama keluhan saya sepatutnya berakhir sebelum Januari bertukar Februari.
Drama ini tidak menyeronokkan untuk diperpanjangkan siarannya.
Plot ceritanya tidak menarik,
malah membawa banyak kerugian jika diproduksi terlalu lama.



Saturday, January 15, 2011

Kisah pokok Willow

"I was an oak, now I'm a willow, I can bend"
[Unknown]

Saya tidak tahu cerita ini sehingga usia saya 30-an.
Mungkin kerana cerita ini saya anggap remeh di waktu muda dulu.
Atau cerita ini tidak penting dalam hidup saya di depannya nanti.
Kisah pokok tidak menarik langsung di usia saya 20-an.
Waktu itu, kisah-kisah cinta-mati amat dominan.
Langsung saya cuba mencari dan memiliki kisah-kisah yang ternyata di akhirnya cuma sama seperti fairytale Cinderella dan Sleeping Beauty.


Cerita sepohon Oak yang bertukar menjadi pohon Willow.
Cerita sepohon pokok???
Teramat cliche untuk saya baca, ingat dan hayati.
Lalu, pokok Oak itu apa sifatnya?
[cuma pernah mendengar nama pokok ini di pelajaran Geografi waktu sekolah menengah dulu]
Dan pokok Willow itu bagaimana pula rupanya?
Kenapa pokok Oak ingin bertukar menjadi pokok Willow?


Setelah melakukan banyak pembacaan dan self-research,
akhirnya saya tahu saya juga adalah pokok Oak yang mahu bertukar menjadi pokok Willow.
Saya akhirnya tahu, banyak kelebihannya menjadi pokok Willow,
pohonnya hijau, daun-daunnya membujur ke tanah, dan bila dipenuhi salji akan membengkokkan dirinya supaya tidak patah seperti pokok Oak.
Bunganya juga cantik, yang betina lain dari yang jantan; supaya senang membezakannya.
Zaman purbakala dulu, orang-orang Sumeria, Egypt dan Greek menjadikannya ubat.
Kayunya paling berkualiti dibuat kotak dan kayu kriket.
Untuk ekosistem, tentunya pokok Willow melengkapkan kitaran alam seimbang.


Mungkin di waktu muda dulu,
saya jatuh cinta dengan keindahan daun Oak dan keharuman pokoknya yang menyamankan wain.
Juga kepopularannya menjadi simbol jata beberapa negara.
Juga mistiknya pokok ini yang mewakili dewa Zeus.
Fakta yang saya tidak jelas adalah, 
daun pokok Oak bakal meracuni kambing dan kuda.
Dan, bila dilitupi salji pokok ini akan mudah patah.


Kembali saya muhasabah diri,
apa yang indah di era saya 20-an sudah tidak indah lagi dizaman saya 30-an ini.
Seperti graffiti yang ditinggalkan seorang teman di dorm asrama
"Yang indah hanya sementara, tetapi Indah Rabiah kekal selama-lamanya".
Kebetulan sekali, nama teman saya itu Indah.
Saya ingin menjadi pokok Oak kerana keindahannya,
sedangkan kenyataan alami, saya lebih sesuai menjadi pokok Willow.


Dan cerita kini,
saya juga adalah pokok Oak yang bertukar menjadi pokok Willow.
Supaya bagaimana beratpun salji yang membebani saya,
saya tidak akan patah, apalagi mati.
Supaya juga, walaupun saya sudah tidak menjadi simbol jata negara,
saya tetap dapat membantu pemain kriket memenangi pertandingan mereka.
Supaya lagi, walaupun saya sudah tidak didewakan penganut Zeus,
saya tetap menghiasi beberapa kamar dan rumah orang-orang yang memilih saya sebagai sebuah dari banyak perabut di dalam ruangan mereka.


Saya sudah tidak seanggun pokok Oak seperti 30 tahun yang lalu.
Dan di tahun yang ke-31 ini saya akan menjadi sehebat pokok Willow.


Dulu,
saya adalah pokok Oak,
sekarang saya adalah pokok Willow. 

p/s :
Sayang sekali kedua-dua pokok ini tidak tumbuh di Malaysia.