Powered By Blogger

Thursday, November 10, 2016

Ketika pendosa jatuh cinta 2




#1
Ada seorang pemuda yang tampan;
dia tidak sengaja jatuh cinta dengan seorang perempuan yang sudah lama dikenalinya.
Dia menunggunya.
Dia melambainya jika bertemu.
Dia malah senyum yang sangat manis setiap kali bertemu dengan perempuan itu.
Berbagai usaha dilakukannya untuk memberitahu bahawa dia sedang jatuh cinta dengan perempuan itu.

#2
Ada seorang perempuan yang 'rumit' hidupnya.
Dia jatuh cinta dengan pemuda tampan yang tidak dikenalinya.
Dia jatuh cinta dengan senyuman lelaki itu yang sangat mesra.
Senyum yang membuatnya lupa akan semua 'kerumitan' hidupnya.
Dia juga mengusahakan berbagai cara untuk memberitakan cintanya kepada lelaki itu.

#3
Tetapi takdir tidak selalu damai dengan cinta mereka.
Kisah cinta mereka adalah kisah sedih dua hati anak manusia yang berusaha untuk mencuri suratan takdir Tuhan;
tetapi mereka gagal.

Wednesday, July 13, 2016

Ketika pendosa jatuh cinta



Cinta itu dia, pendosa itu aku.
Kerana Tuhan menutup hijab dosaku dari penglihatannya;
maka dia pun jatuh cinta.
Andai hijab itu tersingkap;
maka mungkin dia tidak akan pernah jatuh cinta denganku.


Monday, February 15, 2016

Tentang dia


>1<
Saya bertemu dengannya kali pertama di masjid, malah saya pernah menulis 'tentang dia' tahun sudah.
Seperti kata Hasan Asfahani, kami dipertemukan oleh sepasang senyum;
'senyum diwajahnya dan senyum dimataku'.
Senyum itu menjadi sesuatu yang saya tunggu setiap malam seusai solat terawih.

>2<
Akhirnya saya percaya bahawa 'love at a first sight' itu memang wujud.
Dia membuat saya percaya cinta boleh hadir dalam sekelip mata.
Cinta boleh menjadi seindah cerita dongeng.
Dia membenarkan semua frasa-frasa cinta yang pernah saya baca;
bermula dengan pembuktian cinta pandang pertama sehingga terasa ada kupu-kupu di dalam perut ketika bertemunya.

>3<
Saya masih ingat semua waktu-waktu pertemuan dengannya;
semua detailnya saya ingat dengan rapi.
Saya juga masih ingat dengan semua kegilaan yang saya lakukan sekadar untuk melihat wajahnya.
Malah beberapa dari 'kerja gila' itu masih saya lakukan sekarang.
Dia membuat saya lupa banyak hal yang tidak indah dalam hidup ini.
Membuat saya percaya satu hari nanti akan ada orang yang melihat saya sepertinya.

2016 - Saya berpindah lagi





#1
Saya berpindah lagi;
ini perpindahan yang kedua;
pindah ke sekolah yang ketiga.

#2
Beberapa sahabat mempertanyakan tentang keputusan yang saya ambil. 
Tapi mereka tidak perlu untuk cuba memahami 'pengembaraan' yang saya inginkan.
Mereka tidak perlu tahu perincian 'pengembaraan' itu dan saya tidak pernah memaksa mereka untuk memahaminya, kerana 'pengembaraan' itu bukan untuk mereka;
tetapi untuk saya.

#3
Dalam perpindahan saya yang pertama;
ada momen yang sangat saya hargai. 
Tentang sahabat yang perlahan-lahan saya sayangi dan sedih untuk meninggalkan mereka;
mereka inilah yang mewarnai hari-hari kelam saya selama lima tahun yang lepas dan menjadikannya berwarna pelangi setiap hari.
Ketika saya memutuskan untuk berpindah;
entah kenapa mereka ada dalam pertimbangan-pertimbangan keputusan yang bakal saya ambil.
Dalam waktu yang singkat mereka menjadi 'keluarga kecil' saya. 
Dan saya cuba membenarkan bahawa jarak dan waktu yang saya dan mereka jalani tidak akan mengubah perasaan saya kepada 'keluarga kecil' itu.

 

Tuesday, July 21, 2015

Ramadhan~Aidilfitri


#1
Seperti ini ramadhan pertama yang saya tuliskan di sini.
Mungkin kerana ada ujian hebat yang Allah berikan kepada keluarga saya.
Ujian yang memerlukan kami berkorban masa, duit dan perasaan.
Nenek saya sakit dan ibu bapa saya perlu balik ke Indonesia;
maksudnya kami akan merayakan Hari Aidilfitri di negara yang berbeza.

#2
Ramadhan ini, solat tarawikh saya menjadi momen yang sangat indah;
saya jatuh cinta di masjid.  
Seperti ramalan di atas, saya antara calon berpotensi tinggi untuk fall in love at first sight.
Saya jatuh cinta pada senyumannya yang seperti khasnya dilemparkan istimewa ke hati saya.
Senyumannya yang ramah membuatkan kunjungan saya ke masjid jadi berbeza dari tahun-tahun yang sudah.
Dia sosok yang saya cari seusai solat tarawikh;
dan saya tidak pernah gagal mencarinya meskipun dia berada dikerumunan orang banyak.
Dengan harapan dia akan tersenyum seperti kali pertama saya melihatnya;
dengan harapan dia akan parking keretanya bersebelah dengan saya;
dengan harapan dia akan memberikan saya jalan jika kebetulan saya parking di hadapannya;
dan harapan itu cukup sebatas itu sahaja;
tidak lebih, titik.
Unrequited feeling hanya terasa indah jika kita menyederhanakannya.

#3
Aidilfitri jadi berbeza bila saya merayakannya tanpa ibu bapa.
Tidak ada kesibukan membuat persiapan juadah seperti kebiasaannya.
Beberapa kerabat memprihatinkan kami dan menjemput bertamu ke rumah mereka.
Dan kebetulan itu berulang lagi;
tanpa sengaja saya bertemu dengan rumahnya.
Kalau Jose Bergamin menulis "Happiness is always a coincidence";
saya perlu menukarnya kepada "Coincidence is always full of happiness"
Dan semoga akan banyak lagi coincidence yang bakal berlaku di antara kami.



Wednesday, December 31, 2014

2015



Saya adalah orang yang paling tidak siap untuk menyambut pergantian tahun. Baik dari sisi peribadi mahupun kerjaya. Saya melakukan perjalanan ke negara orang, siapa tahu di sana saya bakal menemukan semangat baru untuk tetap bertahan hidup.

Usaha itu hanya sia-sia. Saya masih tidak bersemangat untuk menjalani hidup saya ditahun baru yang bakal bermula hitungan detiknya malam ini. Saya masih gagal meyakinkan diri saya sendiri bahawa segalanya akan beransur-ansur membaik dan saya akan ketawa dengan riang lagi di tempat yang sama.

Saya gagal memurnikan jiwa dan mengikhlaskan hati saya dengan semua takdir-takdir yang dikirimkan Tuhan kepada saya. Saya masih lagi peribadi yang sama; yang selalu melihat dunia dari sudut yang buruk.

Mungkin beberapa siri kegagalan yang saya lalui selama berpindah ini telah memadamkan semua kenangan-kenangan kejayaan yang pernah saya raikan dengan senyum megah dahulu.

Jadi, untuk 365 hari yang bakal saya lalui di tahun 2015 ini, saya berharap ada satu hari di mana saya menemui jiwa saya yang telah hilang 4 tahun yang lalu. Hari di mana resolusi sederhana saya [Happy] tercapai.

Friday, November 21, 2014

Catatan Akhir 2014



#1
Saya menahan diri dari menulis apa pun sepanjang beberapa bulan ini. 
Takut tulisan itu bakal saya sesali jika membacanya di masa hadapan.
Kerana tulisan itu nantinya hanya akan berkisar kepada hal-hal yang negatif dan membawa patah hati. Tulisan yang hanya semakin merendahkan motivasi diri saya untuk meneruskan hidup mengikut kemahuan Tuhan.
Selama beberapa bulan ini saya berharap doa yang saya bisikkan kepada Tuhan dapat dikabulkan menjelang hujung tahun ini; saya mula membina azam-azam baru untuk doa itu (jika termakbul), mula membayangkan pembaharuan diri untuk menjadi diri saya yang terbaik, menjadi peribadi saya 10 tahun yang lalu. 

#2 
Rencana Tuhan rupanya tidak sejalan dengan rencana saya. 
Akibatnya, saya mula membinasakan diri; mencemar nama baik kerja saya, menjadi peribadi yang sangat berbeza dari prinsip-prinsip yang saya peluk erat sebelum ini dan mula meragui benarkah Tuhan memang akan mengabulkan doa-doa saya itu. 
Saya berhenti dari berdoa untuk diri saya, memanjatkan doa kepada-Nya hanya untuk beberapa orang yang saya sayangi. 
Saya serahkan segala-galanya kepada DIA yang Maha Berkuasa.
DIA membuat hati saya waktu ini disakiti, maka mungkin di waktu yang tepat DIA juga pasti akan menyembuhkannya. 
Saya meneruskan hidup mengikut nafas yang DIA berikan, menadah apa saja takdir yang DIA utuskan. 
Saya benar-benar menjadi hamba yang redha waktu ini;
mendiamkan diri sewaktu atasan saya melontarkan kata-kata yang sangat menghiris hati saya;
menelan tiap kalimat pembohongan yang atasan saya lemparkan dengan senyum sinis;
menahan diri dari marah tiap kali rakan-rakan menyindir saya disusuli ketawa ejekan.

#3
Akhirnya, review akhir tahun saya sentiasa serupa dengan tahun-tahun yang sudah;
patah hati;
kecewa;
hampa;
sedih;
kosong.