Powered By Blogger

Wednesday, December 31, 2014

2015



Saya adalah orang yang paling tidak siap untuk menyambut pergantian tahun. Baik dari sisi peribadi mahupun kerjaya. Saya melakukan perjalanan ke negara orang, siapa tahu di sana saya bakal menemukan semangat baru untuk tetap bertahan hidup.

Usaha itu hanya sia-sia. Saya masih tidak bersemangat untuk menjalani hidup saya ditahun baru yang bakal bermula hitungan detiknya malam ini. Saya masih gagal meyakinkan diri saya sendiri bahawa segalanya akan beransur-ansur membaik dan saya akan ketawa dengan riang lagi di tempat yang sama.

Saya gagal memurnikan jiwa dan mengikhlaskan hati saya dengan semua takdir-takdir yang dikirimkan Tuhan kepada saya. Saya masih lagi peribadi yang sama; yang selalu melihat dunia dari sudut yang buruk.

Mungkin beberapa siri kegagalan yang saya lalui selama berpindah ini telah memadamkan semua kenangan-kenangan kejayaan yang pernah saya raikan dengan senyum megah dahulu.

Jadi, untuk 365 hari yang bakal saya lalui di tahun 2015 ini, saya berharap ada satu hari di mana saya menemui jiwa saya yang telah hilang 4 tahun yang lalu. Hari di mana resolusi sederhana saya [Happy] tercapai.

Friday, November 21, 2014

Catatan Akhir 2014



#1
Saya menahan diri dari menulis apa pun sepanjang beberapa bulan ini. 
Takut tulisan itu bakal saya sesali jika membacanya di masa hadapan.
Kerana tulisan itu nantinya hanya akan berkisar kepada hal-hal yang negatif dan membawa patah hati. Tulisan yang hanya semakin merendahkan motivasi diri saya untuk meneruskan hidup mengikut kemahuan Tuhan.
Selama beberapa bulan ini saya berharap doa yang saya bisikkan kepada Tuhan dapat dikabulkan menjelang hujung tahun ini; saya mula membina azam-azam baru untuk doa itu (jika termakbul), mula membayangkan pembaharuan diri untuk menjadi diri saya yang terbaik, menjadi peribadi saya 10 tahun yang lalu. 

#2 
Rencana Tuhan rupanya tidak sejalan dengan rencana saya. 
Akibatnya, saya mula membinasakan diri; mencemar nama baik kerja saya, menjadi peribadi yang sangat berbeza dari prinsip-prinsip yang saya peluk erat sebelum ini dan mula meragui benarkah Tuhan memang akan mengabulkan doa-doa saya itu. 
Saya berhenti dari berdoa untuk diri saya, memanjatkan doa kepada-Nya hanya untuk beberapa orang yang saya sayangi. 
Saya serahkan segala-galanya kepada DIA yang Maha Berkuasa.
DIA membuat hati saya waktu ini disakiti, maka mungkin di waktu yang tepat DIA juga pasti akan menyembuhkannya. 
Saya meneruskan hidup mengikut nafas yang DIA berikan, menadah apa saja takdir yang DIA utuskan. 
Saya benar-benar menjadi hamba yang redha waktu ini;
mendiamkan diri sewaktu atasan saya melontarkan kata-kata yang sangat menghiris hati saya;
menelan tiap kalimat pembohongan yang atasan saya lemparkan dengan senyum sinis;
menahan diri dari marah tiap kali rakan-rakan menyindir saya disusuli ketawa ejekan.

#3
Akhirnya, review akhir tahun saya sentiasa serupa dengan tahun-tahun yang sudah;
patah hati;
kecewa;
hampa;
sedih;
kosong.



Saturday, February 22, 2014

Another days, another chance[s]


Masa saya belum tamat lagi rupanya;
saya masih bernafas, masih makan dan minum, masih tidur, masih pergi bekerja;
dan yang paling hebat dari semua itu adalah saya masih sekali sekala senyum dan ketawa.

Senyum dan ketawa itu nyaman rupanya;
sekali sekala di waktu itu saya dapat melupakan timbunan kekecewaan yang saya simpan kemas;
sekali sekala di waktu itu saya akan berfikir bahawa Tuhan itu memang ADIL;
sekurang-kurangnya pada waktu itu saya terasa INGIN HIDUP.

Terasa ingin meneruskan hidup itu indah rupanya;
sekali sekala saya boleh merancang apa yang saya ingin beli untuk gaji yang saya perolehi;
paling tidak saya masih mampu melihat sedikit sudut positif dari hidup yang saya ada;
sekurang-kurangnya pada titik itu saya cuba melihat semua ini sebagai BELAS KASIHAN TUHAN kepada saya.

Sementara matahari masih lagi terbit dan saya diberikan peluang untuk menyaksikannya,
mungkin itu bahasa TUHAN untuk memberitahu saya bahawa DIA masih memperhatikan saya;
masih memberikan saya beberapa peluang untuk memperbaiki kesilapan masa lalu;
peluang untuk melihat hidup saya dari sudut pandangan-NYA bukan sekadar sudut pandangan saya.






Wednesday, January 1, 2014

2014


#1
Ini hari baru bagi tahun yang baru;
hari-hari di mana ramai manusia menjinjit pelbagai azam dan harapan baru dan lama yang belum termakbul.
Hari mereka meneruskan hidup dengan kata-kata yang sederhana "HARAPAN".
Hari mereka membuka buku baru di diari masing-masing dan ingin memulainya dengan semua kata-kata kebaikan yang mereka termampu. 
Hari di mana mereka ingin HIDUP.

#2
Saya memulainya dengan airmata;
berharap beberapa saat lagi malaikat pencabut nyawa datang mengetuk pintu bilik saya dan berkata 'waktu kamu di dunia sudah tamat'.
Saya tidak mampu lagi untuk bertahan hidup,
tidak ada lagi kebaikan yang dapat dilihat oleh mata saya waktu ini.
Dunia ini sudah tidak menjadi seperti apa yang sepatutnya pada penglihatan saya. 
Saya bisikkan kepada Tuhan;
'saya sudah mengaku kalah, Kau telah menang besar'.
Semua yang ada di dalam mata saya sekarang ini hanyalah "KEMATIAN".
Saya kalah akhirnya;
saya hanya dapat bertahan waktu ini kerana Tuhan masih menginginkannya begitu.
Saya masih bernafas di tahun baru ini sementara menunggu waktu yang tepat untuk MATI.
Saya angkat tangan seperti gambar saya itu, bila-bila Kau boleh menembak saya.
Just pull YOUR trigger....