Powered By Blogger

Wednesday, January 19, 2011

Saya kawan siapa?



Mengenang kembali zaman muda,
ketika masih menggendong beg yang sarat dengan buku,
di waktu masih berseragam biru-putih dan bertukar kelabu-putih,
sewaktu masih bersemangat mencari ilmu dari berpuluh guru yang masuk-keluar bilik darjah.
Saya ada semua kenangan itu.
Saya sarat dengan kenangan belajar yang yang menyeronokkan.
Tidak menyangka di depannya saya perlu pula mengajar.


Di zaman-zaman itu saya beroleh kawan.
Kawan yang sekadar singgah kerana berkeperluan.
Kawan yang datang dan tidak pergi hingga hari ini.
Kawan yang hanya bersama ketika melakukan tugasan.
Kawan yang terpaksa saya lupakan.


Saya hargai keberadaan mereka.
Kenapa???
Kerana mereka mengajarkan saya banyak hal.
Dari yang sekecil-kecil perkara kepada hal yang serius.
Saya syukuri kehadiran mereka,


Yang terkesankan dalam hati saya;
sahabat yang bernama Indah Rabiah. Dia unik dengan cara yang tersendiri.
Sahabat saya yang paling baik hati;
namanya Sarullah Lasulu.
Namanya terlalu 'kebugisan'.
Itu pendapat saya.
Dia sentiasa siap-siaga menolong saya.
Dia seperti abang dan keluarga rapat saya di sekolah lama dulu.
Erny Iskandar yang terlalu tegas; selalu teriak-teriak menyuruh kami turun gotong-royong.
Fplorinah yang menjadi tempat saya bertanya itu-ini;
Idah yang tidak menyangka saya akan datang sejauh perjalanan 6 jam untuk bertamu di majlis resepsinya.
Juga Kak Lina yang sentiasa menjaga saya,
menerima saya apa adanya, 
memperbaiki silap saya dengan lemah-lembut.
Dia bermuka penyayang dan berhati murni.
Mereka mewarnai episod persahabatan saya.


Sekarang,
kawan saya sudah berada jauh,
saya temui kawan baru tetapi saya ada syak yang tinggi.
Jadilah mereka hanya kawan biasa sahaja. 
Seperti perumpamaan seorang teman;
'kawan ke kantin'.



Tuesday, January 18, 2011

Unfinished sigh

"Anybody can pilot a ship when the sea is calm"
[Navjot Singh Sidhu]

Drama keluhan saya belum berakhir.
Kalau dilihat dari kronologinya,
diri saya sendiri yang bersalah besar.
Bukan Tuhan!!!
Malah Tuhan itu amat kasih-Nya kepada saya sehingga diberi-Nya semua yang saya minta.
Saya minta pindah sekolah, 
hanya dua kali mengisi permohonan terus dimakbulkan.
Kawan saya sudah enam kali mengisi permohonan baru Tuhan kabulkan.
Saya minta sebuah rumah kecil untuk berlindung,
Tuhan beri saya lebih dari apa yang ada diangan-angan saya dulunya.
Saya mohon berkemampuan membeli kereta,
malah saya memandu kereta yang tujuh kali lipat badan saya.
Saya selalu berdoa agar diberi lagi kesempatan untuk itu dan ini,
Tuhan malah memberi saya bonus dengan keriangan-keriangan kecil yang tidak terjangka.
Jadi, jika selalu saya mengeluh Tuhan itu tidak adil,
di mana sudut hidup saya yang Tuhan tidak berlaku adil?
di mana keperluan saya yang tidak Tuhan  penuhi?
Saya juga ikut pusing memikirkannya.


Saya berandai-andai sendiri.
Keluhan saya ini hadir dari rasa tidak syukur saya dengan nikmat yang saya perolehi.
Saya mengeluh penat kerana banyak kerja yang perlu disiapkan,
di luar lingkungan saya beribu bahkan berjuta yang mahu bekerja tapi belum mempunyai rezeki.
Saya mengeluh setiap kali harus pulang lewat senja dan memandu dalam kesesakan,
eh, malah ditepi jalan saya lewati seorang lelaki seusia ayah saya sedang mengayuh basikal juga baru pulang dari mencari rezeki. Untungnya saya memandu dalam kereta separa mewah, berhawa dingin dan penuh ciri-ciri keselamatan. Lelaki seusia ayah saya itu hanya berbasikal, memerlukan kudrat yang bukan alang-alang, berdepan pelbagai musibah luar jangka, tetapi kenapa terlihat hatinya senang-senang saja?


Saya jadi ingat,
bahawa dulu saya mempunyai hati itu.
Saya berkesempatan memiliki hati seperti itu.
Lalu saya kehilangan hati itu bersama beberapa ciri-ciri khas yang saya miliki dulu.
Saya buang hati yang telah saya miliki dulu;
hati yang penuh dengan nama-nama yang mahmudah.
Lalu, saya beli sebuah hati yang palsu, yang di dalamnya penuh dengan nama-nama yang mazmumah.
Kenapa saya membelinya?
Mungkin kerana harganya murah, balutannya juga menarik.
Hari ini saya mendapati hati itu rosak teruk.
Tapi saya tidak berniat untuk membeli hati lagi.
Akan saya cari hati saya yang dulu saya buang.
Akan saya perbaiki di mana perlu. 


Semoga saya masih belum terlambat.
Sehingga di suatu ketika nanti,  
saya bakal memiliki hati seperti lelaki tua sebaya ayah saya,
yang mengayuh basikal dengan gembira,
yang pulang ke rumah senyum-senyum manis lantaran memikirkan telah berbuat bakti seharian,
yang tidurnya nyenyak tanpa memikirkan apa akan berlaku esok hari.


Drama keluhan saya sepatutnya berakhir sebelum Januari bertukar Februari.
Drama ini tidak menyeronokkan untuk diperpanjangkan siarannya.
Plot ceritanya tidak menarik,
malah membawa banyak kerugian jika diproduksi terlalu lama.



Saturday, January 15, 2011

Kisah pokok Willow

"I was an oak, now I'm a willow, I can bend"
[Unknown]

Saya tidak tahu cerita ini sehingga usia saya 30-an.
Mungkin kerana cerita ini saya anggap remeh di waktu muda dulu.
Atau cerita ini tidak penting dalam hidup saya di depannya nanti.
Kisah pokok tidak menarik langsung di usia saya 20-an.
Waktu itu, kisah-kisah cinta-mati amat dominan.
Langsung saya cuba mencari dan memiliki kisah-kisah yang ternyata di akhirnya cuma sama seperti fairytale Cinderella dan Sleeping Beauty.


Cerita sepohon Oak yang bertukar menjadi pohon Willow.
Cerita sepohon pokok???
Teramat cliche untuk saya baca, ingat dan hayati.
Lalu, pokok Oak itu apa sifatnya?
[cuma pernah mendengar nama pokok ini di pelajaran Geografi waktu sekolah menengah dulu]
Dan pokok Willow itu bagaimana pula rupanya?
Kenapa pokok Oak ingin bertukar menjadi pokok Willow?


Setelah melakukan banyak pembacaan dan self-research,
akhirnya saya tahu saya juga adalah pokok Oak yang mahu bertukar menjadi pokok Willow.
Saya akhirnya tahu, banyak kelebihannya menjadi pokok Willow,
pohonnya hijau, daun-daunnya membujur ke tanah, dan bila dipenuhi salji akan membengkokkan dirinya supaya tidak patah seperti pokok Oak.
Bunganya juga cantik, yang betina lain dari yang jantan; supaya senang membezakannya.
Zaman purbakala dulu, orang-orang Sumeria, Egypt dan Greek menjadikannya ubat.
Kayunya paling berkualiti dibuat kotak dan kayu kriket.
Untuk ekosistem, tentunya pokok Willow melengkapkan kitaran alam seimbang.


Mungkin di waktu muda dulu,
saya jatuh cinta dengan keindahan daun Oak dan keharuman pokoknya yang menyamankan wain.
Juga kepopularannya menjadi simbol jata beberapa negara.
Juga mistiknya pokok ini yang mewakili dewa Zeus.
Fakta yang saya tidak jelas adalah, 
daun pokok Oak bakal meracuni kambing dan kuda.
Dan, bila dilitupi salji pokok ini akan mudah patah.


Kembali saya muhasabah diri,
apa yang indah di era saya 20-an sudah tidak indah lagi dizaman saya 30-an ini.
Seperti graffiti yang ditinggalkan seorang teman di dorm asrama
"Yang indah hanya sementara, tetapi Indah Rabiah kekal selama-lamanya".
Kebetulan sekali, nama teman saya itu Indah.
Saya ingin menjadi pokok Oak kerana keindahannya,
sedangkan kenyataan alami, saya lebih sesuai menjadi pokok Willow.


Dan cerita kini,
saya juga adalah pokok Oak yang bertukar menjadi pokok Willow.
Supaya bagaimana beratpun salji yang membebani saya,
saya tidak akan patah, apalagi mati.
Supaya juga, walaupun saya sudah tidak menjadi simbol jata negara,
saya tetap dapat membantu pemain kriket memenangi pertandingan mereka.
Supaya lagi, walaupun saya sudah tidak didewakan penganut Zeus,
saya tetap menghiasi beberapa kamar dan rumah orang-orang yang memilih saya sebagai sebuah dari banyak perabut di dalam ruangan mereka.


Saya sudah tidak seanggun pokok Oak seperti 30 tahun yang lalu.
Dan di tahun yang ke-31 ini saya akan menjadi sehebat pokok Willow.


Dulu,
saya adalah pokok Oak,
sekarang saya adalah pokok Willow. 

p/s :
Sayang sekali kedua-dua pokok ini tidak tumbuh di Malaysia.

Monday, January 10, 2011

Untuk dia dan saya




Untuk saya,
ada jalan yang paling sesuai di depan.
ada rezeki terbaik yang Tuhan sediakan.
ada tempat yang sesuai untuk saya diami.
ada kerja yang sesuai untuk saya laksanakan.


Untuk dia,
juga ada jalan yang paling sesuai untuk dia lalui.
ada rezeki terbaik yang Tuhan janjikan.
ada tempat sesuai untuk dia diami.
ada kerja yang khusus untuk dia laksanakan.


Antara dia dan saya,
jalan yang Tuhan sediakan untuk saya dan dia tidak bertemu diakhirnya.
rezeki jodoh dia dengan saya juga tidak ada dalam rencana Tuhan.
tempat yang sesuai untuk dia tidak sesuai pula untuk saya.
kerja kami sama tetapi tempat untuk melaksanakannya pula berlainan.


Antara dia dan saya,
kami mengusahakan pertemuan.
mencari titik di mana akan ada pengharapan.
mencuba untuk mengusahakan membina cinta yang kami lupakan dulunya.
mengusahakan apa yang termaktub dalam rencana Tuhan sebagai 'mustahil'.


Setelah bertemu;
dua minggu berikutnya kami masih bertukar mesej.
dua bulan berlalu, kami masih bertanya situasi.
empat bulan berlalu, kami hanya menyampai pesan bila kalendar bertukar ke acara besar. Sudah sekadar mengucapkan 'Selamat Berpuasa', 'Selamat Hari Raya' dan 'Selamat Tahun Baru'.
dua tahun berlalu, kami sudah saling melupakan.
kami sudah tidak berutus mesej, apakan lagi berjanji untuk bertemu.
saya menghapus nombornya dari daftar telefon saya.
saya pasti dia juga melakukan yang sama.


Akhirnya,
kami sudah menerima hakikat Yang Maha Mencipta.
bahawa, bagaimana kuat sekalipun kami mengusahakan,
bagaimana hebat sekalipun perancangan kami,
ada batas-batas yang tidak dapat kami lepasi.
ada yang lebih berkuasa dari kemahuan kami.
dan untuk hidup yang aman dalam situasi kami hanya ada satu jalan;
menerima qada' dan qadar Tuhan seadanya.
untuk dia, akan ada yang terbaik dari saya.
untuk saya, akan ada pengganti dia yang lebih baik.
nantikan saja.

Friday, January 7, 2011

Kehilangan

"The road of life twists and turns and no two directions are ever the same. Yet, our lessons  come from the journey not the destination"
[Don Williams Jr.]


Semua ada cerita tersendiri berkait kehilangan.
Cerita berbeza yang hujungnya tetap berakibat menyedihkan.
Tapi dengan janji Maha Pencipta saya biarkan saja yang ingin hilang; lenyap.
Janji-Nya yang saya selalu ingat;
bahwa DIA akan menggantikan yang lebih baik dari yang DIA lenyapkan dari saya.
Sampai saat ini saya nantikan janji itu.
Tetap yakin dalam kalbu saya bahwa janji-NYA itu pasti.
Sedikit pun saya tidak ragu, cuma kadang-kadang rasa ingin tahu;
bila waktunya paling tepat untuk DIA menepati janji-Nya kepada saya.


20 tahun dari sekarang,
mungkin saya akan menyesali keputusan yang saya buat hari ini.
Tapi saya pasti akan lebih menyesalinya jika saya tidak melakukan 
apa yang saya lakukan sekarang. 
Saya tidak akan tahu apa akan jadi dengan saya tanpa bereksperimen dengan keputusan nekad.
Saya masih akan berada di dalam 'comfort zone' sehingga saat ini.
Saya masih gemuruh tidak tentu dengan trafik yang membingungkan.
Saya masih akan berhadapan dengan rakan sekerja yang mengambil mudah semua perkara serius.
Saya akan menjadi guru yang tidak kreatif.


Untuk memiliki yang baru, kita mesti kehilangan yang lama.
Untuk mendapatkan yang berharga, kita perlu kehilangan yang tidak berguna.
Untuk memperolehi yang terbaik, kita akan kehilangan yang 'biasa-biasa' saja.
Untuk segala sesuatu yang hilang itu, ada hikmah yang kita kurang mengerti maknanya sehingga satu saat bila Tuhan menggantikannya dengan yang lebih baik.
Pada waktu itu, barulah kita merenung jauh-jauh;
ada hikmah untuk semua yang dijadikan Tuhan.


p/s : 
Kita mesti bersedia untuk meninggalkan dan ditinggalkan [Al. Usman Awang]  

Tuesday, January 4, 2011

+ve VS -ve

"One may go a long way after one is tired"
[French proverb]

Saya pasti semua orang ada jalannya tersendiri yang dicipta oleh Tuhan.
Jalan itu sesuai dengan setiap perincian orangnya. 
Kenapa???
Kerana Tuhan Maha Tahu.
Cuma yang salahnya adalah ketika Tuhan berbisik ke saya,
saya cuma mengabaikan bisikan itu.
Tidak menyangka bahawa di depannya saya menyesal tidak sudah. 
Tidak menduga saya bakal berhadapan dengan 100 kali lipat kesusahan dari tahun lalu.


Dulu,
saya selalu berpagi-pagi minum nescafe tarik dengan sahabat di kantin,
saya senyum-senyum gembira tidak tentu bila masuk kelas,
saya semangat deg-deg-an bila mahu siapkan semua tugas; yang tertunda dan baru.
Kesimpulannya, bagaimanapun deritanya saya dengan tugas itu ini; saya tetap guru yang bahagia.


Kini,
saya tidak tahu mahu ke mana bila datang ke sekolah,
tidak ada tempat duduk dan tempat lepak yang selesa.
saya bingung-bingung sendiri mahu buat apa kalau di suruh ganti kelas guru lain.
saya seram-seram sejuk kalau terpaksa memandu dalam kesesakan.
Kesimpulannya, di tahun 2011 saya menderita dengan keputusan yang saya buat di tahun lepas.


p/s : 
huhuhu...saya mau pulang!!!

Sunday, January 2, 2011

Keputusan yang salah[?]

"Looking back, you realize that a very special person passed briefly through  your life-and it was you. It is not too late to find that person again.
[Robert Brault]

Tahun lalu saya minta pindah; BERJAYA.
Lalu bila melihat lokasinya saya ragu-ragu.
Kata intuisi saya, tolak saja dan jalan semula ke sekolah asal.
Tapi otak logik saya memutar kata-kata pegawai Pelajaran bahawa;
jika saya menolak, saya mungkin tidak akan dapat pindah lagi di masa akan datang.
Jadinya, saya ikut saja kata otak logik saya dan mengadu nasib di sekolah baru.
Sekolah ini tidak sedikit pun mirip dengan sekolah saya dulu.
Jalannya kecil; bangunannya sedikit, pelajarnya tidak ramai, gurunya bisa dihitung.
Kawasannya sempit dan menyukarkan saya bernafas. 
Menyesal???
Dengan berani saya mengaku saya menyesal [terlalu].
Banyak yang saya pertaruhkan untuk perjudian saya kali ini.
Dan keputusan akhirnya, saya kalah banyak. Saya rugi banyak.

p/s : memang benar pepatah orang Melayu bila dikiaskan bahawa;
menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

Saturday, January 1, 2011

Tahun telah berganti

Sudah pun 2011.
Tapi kenapa saya tidak merasa seperti tahun-tahun sebelumnya.
Rasa yang bagaimana?
Bila mendekati tahun baru, 
saya sibuk-sibuk mencari azam baru yang akan saya lupakan belum pun menjelang pertengahan tahun.
Tahun sebelum ini juga, 
saya bakal mencari 'port' terbaik untuk 'countdown' tahun baru.
Saya berkira-kira, dengan siapa akan saya saksikan kembang bunga api tahun baru.
Saya pasti menyiapkan planner tahun baru, diary comel untuk tahun baru.
Planner dan diary itu hanya akan terisi sehingga bulan ke-6 tahun baru.
Selepasnya, saya sudah jadi malas dan membiarkan hari-hari seterusnya beredar dengan kekosongan.
Beberapa tahun lalu,
saya ke utara, selatan, timur dan barat tanah air untuk mencari yang namanya 'hiburan'.
Saya malah terbang ke seberang tanah air untuk melawat keluarga yang saya namakan 'perjalanan suci'.
Sampai ke saat ini, 
sudah banyak kampung orang yang saya lewati,
sudah berjuta manusia yang saya temui,
sudah bermacam rasa makanan dan minuman yang saya sumbatkan ke mulut.
Tapi kenapa saya merasa semacam dunia akan berhenti beberapa hari lagi???


Mungkin ini kerana,
usia saya sudah beransur dewasa,
sudah merasa bahawa keseronokan dan 'gila-gila' itu hanya sesuai di waktu remaja.
Di mana kembang bunga api dan 'countdown' tahun baru bukan lagi penentu kegembiraan tahun baru.
Planner dan diary baru bukan syarat utama untuk memiliki tahun baru yang hebat.


2011 ini,
saya jadi kalut dengan diri sendiri,
saya jadi gemuruh dengan hari-hari bekerja yang akan datang,
saya jadi takut tidak tentu dengan apa yang akan menunggu saya di setiap tikungan.
Sudah 6 tahun saya tidak sekalut ini, tidak segemuruh tahun ini dan tidak setakut hari ini.
Dengan doa yang panjang saya mohon;
semoga tahun ini bisa berdamai dengan saya,
supaya suasana baru tidak menelan saya hidup-hidup,
supaya flora dan fauna di laluan baru saya menyambut dengan salam bahagia;
agar nantinya di sepanjang tahun ini saya akan melalui 'mereka' dengan penuh bersahabat.
Saya menantikan agar tahun ini menjadi tahun yang sederhana tetapi membahagiakan.
Amin...




p/s :
seperti katanya kepada saya dulu bahawa dia akan mengingati saya setiap jam bertukar menjadi 11:11. 
semoga saya bakal berjumpa dia ketika tanggal bertukar ke 11/11 di tahun ini.